
Pernah dengar orang cakap, ” Orang berjaya tak tidur 8 jam sehari”? Mungkin anda pernah dengar cerita tentang usahawan terkenal seperti Elon Musk atau Jeff Bezos yang dikatakan tak perlu tidur banyak untuk capai kejayaan besar. Ada yang percaya, kalau nak berjaya, kena korbankan masa tidur. Tapi, adakah itu benar? Atau sekadar mitos yang kita selalu dengar?
1. Kenapa Orang Berjaya Kurang Tidur?
Ada yang beranggapan, kalau tidur 8 jam sehari, macam mana nak capai matlamat besar? Bila lagi nak bekerja keras, kan? Kita selalu nampak orang-orang berjaya seperti CEO dan usahawan bekerja dari pagi sampai malam, jadi tidur pun sekejap je, Tetapi, kalau kita tengok dengan lebih dekat, sebenarnya mereka ni pandai menguruskan masa. Mereka tahu bila masa untuk bekerja keras dan bila masa untuk berehat.
Jadi, tidur kurang bukan bermakna mereka lebih berjaya, tetapi mungkin mereka lebih bijak dalam menguruskan waktu untuk mencapai apa yang mereka mahu.
2. Tidur Kurang? Boleh, Tapi Jangan Sampai Berlebihan !
Tak dinafikan, ada juga orang yang berjaga atau tidur hanya beberapa jam untuk mencapai impian mereka. Mungkin waktu pagi adalah waktu yang paling produktif bagi mereka, jadi mereka ambil peluang untuk bekerja lebih masa. Namun, harus diingatkan bahawa tidur yang tidak cukup boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan tubuh dan minda.
Tidur yang cukup membantu tubuh kita untuk pulih, dan minda kita lebih cergas. Mungkin orang yang berjaya ni pandai jaga waktu tidur, walaupun tak tidur 8 jam, tapi mereka pastikan kualiti tidur mereka tinggi. Jadi, bukannya berapa lama tidur yang penting, tetapi kualiti tidur itu yang membuatkan mereka lebih fokus dan bertenaga.
3. Tidur Itu Penting untuk Produktiviti
Jika tidur tak cukup, esoknya kita semua tahu rasa macam mana – lesu, lemah dan kadang-kadang mood pun terganggu. Kalau otak kita tak cukup rehat, kerja pun tak akan menjadi. Inilah sebabnya kenapa tidur yang cukup sangat penting. Orang yang berjaya memang bekerja keras, tetapi mereka juga tahu bila msa untuk berehat dan tidur dengan cukup. Mereka faham bahawa tidur yang berkualiti dapat meningkatkan produktiviti mereka ke tahap yang lebih tinggi.
4. Apa Kata Saintis?
Menurut kajian saintis, tidur antara 7 hingga 9 jam sehari adalah jumlah yang paling ideal untuk kebanyakkan orang dewasa. Jadi, kalau ada yang kata orang berjaya tak perlu tidur 8 jam, mungkin itu hanya sebahagian daripada cerita yang kita dengar. Sebenarnya, tidur tetap sangat penting untuk kesihatan mental dan fizikal. Tanpa tidur yang cukup, kita takkan dapat berfungsi dengan baik dan ini akan mempengaruhi semua aspek kehidupan kita.
5. Jadi, Apa Kesimpulannya?
Jadi, jangan terlalu terpengaruh dengan cerita-cerita yang mengatakan orang berjaya tidur kurang. Setiap orang berbeza dan ada yang boleh berjaya walaupun tidur sekejap. Tetapi yang paling penting, jangan sesekali abaikan kepentingan tidur untuk kekal sihat dan produktif. Jangan terlalu obses untuk bekerja keras sehingga mengorbankan waktu tidur yang sangat penting.
Yang penting adalah menjaga keseimbangan antara kerja dan rehat. Tidur yang cukup dan berkualiti membantu kita berfungsi dengan lebih baik dan akhirnya, membawa kita lebih dekat kepada kejayaan yang diimpikan.
Ingat, tidur yang cukup bukan tanda kelemahan— sebaliknya, ia adalah kunci kejayaan yang sebenar !